Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Wednesday, 2 September 2015

Jurnal 28/44 : 8 Langkah Pembuka Rezeki dari Irfan Khairi



Teks : Irfan Khairi
Gambar : Google

Berikut merupakan 8 langkah peribadi diri yang di kongsikan oleh Irfan Khairi bagi membuka pintu rezeki.

1. Sentiasa berniat baik
Segala urusan bermula dengan niat. Biat yang baik, maka urusan juga akan dipermudahkan. Niat yang tidak baik, keberkatan usaha pula akan hilang.

2. Sentiasa bercakap benar
Kepercayaan orang lain kepada kita berasal dari diri kita sendiri apabila sentiasa bercakap yang benar-benar sahaja. Membina kepercayaan orang adalah sukar, namun menghilang kepercayaan orang adalah amat mudah. Sentiasa bercakap benar.

3. Sentiasa berakhlak mulia
Mereka berakhlak mulia bukan sahaja disukai oleh orang di keliling, tetapi dicintai oleh Allah swt. Tidak perlu memuaskan hati orang sahaja, cinta teragung adalah dengan Allah swt dan akhlak mulia adalah jambatan untuk mencapainya.

4. Sentiasa menepati masa
Buangkan tabiat melengahkan masa, atau tidak menepati masa. Usah lagi beri alasan “on the way” bila terlewat di mana kita baru sahaja melangkah keluar rumah 

5. Sentiasa amanah dan dipercayai
Bina kepercayaan dengan menjadi seorang yang beramanah.

6. Sentiasa bertutur dengan bahasa dan cara baik
Jaga pertuturan. Apa yang kita kata mencerminkan peribadi sendiri. Bercakap dengan lemah lembut dan dan bahasa yang baik. Anda sentiasa akan dihormati.

7. Sentiasa berketerampilan kemas
Berpakaian dan berketerampilan kemas bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar bersederhana dan tidak pula dilihat selekeh. Pakaian yang tidak terurus, rezeki juga tidak akan datang.

8. Sentiasa jaga perbualan perkara yang baik sahaja
Sentiasa berkata-kata yang positif sahaja. Apa yang kita kata, akan menjadi doa. Doakan yang terbaik sahaja untuk diri, keluarga dan juga kenalan yang kita berbual bersama.

Mari kita sama-sama amalkan disamping berusaha, dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Allah, Maha Pemberi Rezeki

Posted via Blogaway

Monday, 3 August 2015

Jurnal 25/44 : Kekalkan Motivasi Gaya Dr. Tuah

Teks : DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj
Gambar : Google



TIGA LANGKAH SUPAYA KEKAL MOTIVASI DIRI

i. Kuatkan niat kerana ALLAH. Dalam kata lain ikhlas. Ikhlas ni senang disebut, tapi susah dibuat. Sebab ia boleh tercarik, boleh berubah. Bila dapat pujian boleh jadi ikhlaslah tapi bila kena kutuk boleh jadi hilang keikhlasan, tinggal dendam.

ii. Berikan yang terbaik. Jangan simpan-simpan, jangan stemeg, stemeg, kata orang kampung saya. Berikan saja yang terbaik. Terserahlah orang nak nilai apa dan bagaimana, yang kita tahu kita dah beri yang terbaik. Insya-ALLAH, tahulah orang nak menilai. Kalau mereka masih mengutuk juga, bukan kita yang tak betul, dia oranglah yang tak stabil.

iii. Kutukan adalah penambahbaikan. Ingat kutukan adalah penambahbaikan. Tanpa kutukan mungkin kita pun akan lupa diri, tak ingat TUHAN, tak ingat untuk menambahbaik apa yang sedang kita berikan.
Moga-moga tiga langkah ini akan menjadikan kita kekal bermotivasi tinggi, cara 3E.


- DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Monday, 29 June 2015

Jurnal 19/44 : 5 rahsia kaya sehingga jutawan

Teks : Nor Azlina Najib

Sekali imbas tajuk ini menyinggahi dinding muka buku saya, tanpa sebarang kompromi terus saya klik sumber berikut iaitu dari Oh Bulan dan membacanya satu persatu. Pada saya ini merupakan kisah sebenar dari seorang yang biasa-biasa kepada orang yang luar biasa. Hebat kerana beliau berjaya merealisasikan impian beliau. Mari kita ikuti apa rahsia Pn. Hani Borhan iaitu pengasas Jamu Susuk Dara melalui artikel dari laman sosial tersebut : 

1. Jangan Biasakan Berhutang



Benar, hutang itu ibarat gunting dalam lipatan, menyusup tanpa di sedari dan akhirnya merana di kemudian hari. Walaupun hanya bermula dengan jumlah yang kecil, tetapi lama-kelamaan hutang tersebut akan menjerat leher sendiri sehinggakan akan ada satu ketika, semua atau sebahagian besar wang gaji dihabiskan semata-mata untuk membayar hutang. Kebiasaannya hutang ini bermusim, seperti musim perayaan, musim persekolahan baru di buka, musim kenduri kendara atau musim walimatul urus. 

Mengapa saya simpulkan sedemikian? Kerana pada masa inilah aliran wang tunai menjadi lebih mudah mengalir dan ada ketikanya pembelian barang-barang yang tidak perlu pun di beli juga. Berhati-hati juga dengan sekeping kad yang mampu menambahkan amalan berhutang dengan pantas - KAD KREDIT.

2. Usaha & Dekati Allah s.w.t

Benar, kerana kita manusia hanya sekadar mampu berusaha untuk melipat gandakan usaha untuk mencari sebanyak mana rezeki, tetapi semuanya bergantung kepada Yang Maha Pemberi Rezeki. KepadaNYA kita wajar menyerahkan semua usaha kita. Usaha seikhlasnya, dan dekati Allah dalam pelbagai cara. Samada melalui solat atau melalui ibadah lain terutamanya bersedekah. Jangan menidakkan keupayaan sedekah, kerana Allah telah berjanji bahawa :

Dari Abu Hurairah ra. yang berkata bahwa Rasulullah saw. bersabda:
Harta tidak akan berkurang karena shadaqah. Allah pasti akan menambah kemuliaan seseorang yang suka memaafkan. Juga tidaklah seseorang itu merendahkan diri karena Allah, melainkan ia akan diangkat pula derajatnya oleh Allah 'Azzawajalla.
(HR Muslim)


Dapatkan bacaan Allah Tempat Meminta, dengan klik BORANG TEMPAHAN 

3. Cara survive jika kurang wang.


Seandainya terdapat pada masa-masa tertentu, kesempitan wang terdapat pelbagai cara atau langkah pencegahan yang Puan Hani kongsikan seperti mengawal pembelian seharian, tidak membeli baju mengikut trend semasa, membeli di pasaraya dengan harga mampu milik walaupun baju bundle, atau membaiki kelengkapan yang rosak dari membeli peralatan baru.

Tambahan juga kepada idea di atas, adalah membawa bekalan makanan di pejabat/sekolah anak-anak, menaiki pengangkutan awam (sekiranya ianya lebih menjimatkan), menghad atau membatalkan servis-servis perkhidmatan tertentu seperti saluran TV swasta atau menggunakan talian telefon prepaid

4. Kumpul duit ansuran setiap bulan.


Ini merupakan langkah menabung tetapi telah menetapkan sasaran pembelian dengan tabungan tersebut. Contoh yang diberi oleh Puan Hani adalah membeli mesin cuci 10kg dengan harga RM1,600. Jika belian pada masa sekarang, anda hendaklah membayar RM176 setiap bulan selama 24 bulan (RM176 x 24 bulan). Saranan Puan Hani, adalah kita membuka satu tabung khas yang di labelkan "Mesin Cuci Toshiba 10KG Automatik" dan memperuntukkan sejumlah Rm176 setiap bulan ke tabung berkenaan. Buat masa ini, anda perlu mencuci secara manual - tangan!

Kira-kira ini biasanya di pandang remeh oleh sesetengah pihak, dengan mengambil kira bahawa beliau mampu untuk berbelanja RM176 (pada hakikatnya berhutang!). Jika di buat kira-kira mudah, jika pembelian melalui ansuran mudah ini anda telah rugi sejumlah RM2,624 berbanding harga asal Rm1,600

Belian mesin cuci (April 2014 - April 2016) 
Harga Asal RM 1,600
Harga Bulanan RM176 x 24 bulan = RM4,624
Kerugian RM (4,624 - 1,600) = RM2,624

Berbanding dengan jika anda menyimpan RM176 bermula April 2014, anda akan memperolehi Mesin Cuci Toshiba 10KG Automatik pada bulan Disember 2014 secara tunai. Atau anda boleh membeli mesin cuci separa automatik sebelum meneruskan tabungan seperti sebelum ini.

5. Tabung dari Bakal Hutang



Ini sebenarnya adalah kesinambungan kepada langkah yang  di atas, sekiranya tabungan tadi disambungkan dari Januari 2015 sehingga April 2016 dengan jumlah yang sama RM176.00, maka anda akan dapat kumpulkan sejumlah RM2,816.00. Dengan jumlah berikut, anda telah mempunyai satu lagi peruntukan membeli mesin cuci automatik (dengan beranggapan anda telah membeli mesin cuci separa automatik) dan baki tunai selebihnya boleh di simpan dalam tabungan lain contohnya ASB, Tabung Haji dan sebagainya. Dan sebagai menyokong langkah kedua, sedekahkan mesin basuh separa automatik tadi kepada rakan atau mereka yang kita tahu memerlukan barangan tersebut.

Nampak mudah, tetapi amalan ini hendaklah disertai dengan sikap sabar, syukur dan bersangka baik (3S). Puan Hani telah membuktikan ianya bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk menjadi jutawan pada usia muda, tetapi hendaklah disertakan dengan cara yang betul. 

Sekian sahaja penulisan saya pada kali ini. Di lain masa saya juga akan memetik kata-kata seorang usahawan juga jutawan muda yang banyak memberi inspirasi melalui laman muka buku beliau. 

Nantikan penulisan saya selanjutnya.





Saturday, 20 June 2015

Jurnal 12/44 : Rezeki Milik Allah


.
Teks : Nor Azlina Najib
Gambar : Nor Azlina Najib

Anak syurga saya - Annur Khalisya.

Alhamdulillah, sudah banyak perkembangan terbaik melalui tempoh pemulihan eczema. Syukur juga pada Allah yang mengurniakan ilham untuk iqra' setiap apa berlaku, maka dengan itu saya lebih sedar dan mengambil inisiatif untuk keluar melawan arus.

Biarpun tempoh pemulihan agak lama, tetapi sekurang-kurangnya saya tahu punca dan apa yang patut di lakukan. Biarpun kos rawatan yang besar kerana perlu ada konsep "cubajaya", tetapi saya yakin itu semua usaha sebagai manusia dan tanggungjawab ibu bapa untuk beri yang terbaik pada anak-anak.

Alhamdulillah, adik sekarang kurang aktiviti menggaru hingga melukakan diri sendiri kecuali jika adik stress hendak tidur, atau kehendaknya tidak di penuhi. Sekarang memasuki fasa " explore", ohh baru setahun sebulan tetapi fasa ini begitu memenatkan..hahahaha

Sudah pandai memanjat walker, turun dari walker sendiri, turun katil sendiri..huhuh. Teman bergaduh kakak hari-hari.

Rezeki dari Allah, semuanya berbentuk pinjaman. Apa yang ada hari ini, belum tentu ada esok hari. Apa milik kita? Kita pun milik Allah. Tiada satu pun milik kita

Posted via Blogaway

Sunday, 14 June 2015

Jurnal 6/44 : Update Blog

Teks : Nor Azlina Najib
Gambar : Nor Azlina Najib





Sudah hampir seminggu blog di biarkan tanpa di kemaskini apa jua info. Bukannya tiada idea, tetapi kerana kekangan masa menyelesaikan tugasan pejabat. Kembalinya di rumah, masa terhad diperuntukkan dengan anak-anak syurga saya. Terutamanya perhatian kepada Khalisya. Rindu membuak-buak bila teringatkan blog baru ini. Saya sudahpun install aplikasi blogger di smartphone Oneplus One ini, tetapi terdapat masalah teknikal untuk saya dapatkan post yang sudah di draft melalui pc. 


Aplikasi Blogger di Playstore

Kerana masih lagi terhutang 20 entry di sini, makanya hari ini saya bersiaran di Pejabat Hujung Minggu - Dapur aka. SOHO saya buat masa ini. Di sinilah dapur, di sinilah juga library kecil saya. Mungkin satu hari nanti saya akan mempunyai SOHO khas, yang lebih teratur.

Tuesday, 2 June 2015

Jurnal 4/44 : Peringatan dari Allah melalui manusia

Teks : Nor Azlina Najib via Whatsapp Group
Gambar : Google

Assalamualaikum & Selamat pagi.

Hari ini saya terpanggil untuk berkongsi kata-kata yang dipetik dari whatsapp group. Nampak seperti unsur lawak, tapi kita tidak sedar kadang-kadang perkara inilah yang kita hadapi baik dengan pasangan hidup, adik beradik, orang kampung, rakan sekerja, pihak bank, pelanggan malah dengan jiran sebelah rumah. 



Kalau gaduh dengan pelanggan,
Walaupun kita menang,
Pelanggan tetap akan lari.

Kalau gaduh dengan rakan sekerja,
Walaupun kita menang,
Tiada lagi semangat bekerja satu kumpulan.

Kalau kita gaduh dengan boss,
Walaupun kita menang,
Tiada lagi masa hadapan di tempat itu.
Kalau kita gaduh dengan keluarga,
Walaupun kita menang,
Hubungan kekeluargaan akan renggang.
Kalau kita gaduh dengan guru,
Walaupun kita menang,
Keberkatan menuntut ilmu dan kemesraan itu akan hilang
Kalau gaduh dengan kawan,
Walaupun kita menang,
Yang pasti kita akan kekurangan kawan.
Kalau gaduh dengan pasangan,
Walaupun kita menang,
Perasaan sayang pasti akan berkurangan.
Kalau kita gaduh dengan sesiapapun,
Walaupun kita menang,
Kita tetap kalah...
Yang menang.. cuma ego diri sendiri
yang susah.. mengalahkan ego diri sendiri..
Renungan bersama....
Apabila menerima teguran, usah terus melenting, bersyukurlah, masih ada yang mahu menegur kesilapan kita.

Moralnya : Apabila ditegur, dan ada yang menegur (walau dengan apa intonasi sekalipun), maksudnya orang sekeliling menyayangi anda. Kena ingat, bawaha sebenarnya teguran itu adalah dari Allah, peringatan dari Allah cuma disampaikan oleh manusia, perantaraannya manusia. Bersyukurlah, kerana Allah masih menyayangi kita dengan memberi teguran, kerana setiap teguran itu adalah tanda kasih dan tanda cinta.

Monday, 1 June 2015

Jurnal 3/44 : Bekerja untuk kebahagiaan keluarga

Teks : Nor Azlina Najib

Gambar : Sumber Google 



Lewat minggu lepas, saya tertarik dengan status rakan FB saya, iaitu " Kita bekerja untuk kebahagiaan keluarga. Jika pekerjaan menghakis perhatian dan masa kepada keluarga, dari mana datangnya keluarga bahagia? "

Terkesima saya sebentar dengan bait-bait ini. Nyata sekali, matlamat kerjaya seorang ibu yang mempunyai keluarga sudah beralih daripada untuk kepuasan individu kepada tekanan keperluan kehidupan. Mengapa saya katakan begitu ?

Ini adalah kerana dari pengalaman sendiri, yang bekerja dalam bidang perakaunan kerana saya meminati kira-kira dari peringkat menengah lagi dan melanjutkan pelajaran juga dalam bidang ini. Nah, sudah pasti kerjaya yang saya ingini dan miliki sekarang juga adalah dalam bidang perakaunan. Tetapi setelah berumahtangga, matlamat kerjaya saya yang dahulunya kerana ingin implement pengetahuan dan kemahiran melalui tahap pendidikan yang dimiliki kepada keperluan untuk menyediakan keluarga di tahap yang selesa.

Bagaimana pula tahap keselesaan sesuatu keluarga? 

Sepintas lalu, ianya di ukur dari segi keperluan makan minum, pendidikan, pakaian, kesihatan anak-anak yang mencukupi, mempunyai tabungan kecemasan dan simpanan yang meyakinkan, mempunyai rumah, kereta yang boleh membawa keluarga berlibur sekali sekala, tiada hutang pendidikan mahupun hutang peribadi dan pelbagai definisi individu mengenai tahap keselesaan masing-masing.

Namun begitu, untuk menyediakan kesemua ini ada sesuatu yang diperlukan untuk dikorbankan. Samada dari segi masa bersama anak-anak, kasih sayang suami isteri, rindu dendam ibu bapa kepada anak-anak yang kurang menjenguk atau bertanya khabar, apalagi menziarahi sanak saudara ketika senggang.

Lantas saya terfikir untuk mengambil cuti tanpa gaji, hanya untuk bersama-sama keluarga kecil saya. Untuk saya atur dan urus semuanya dari rumah dengan harapan untuk kembalikan kebahagiaan dan kegembiraan anak-anak kerana yang berkorban ketika ini bukanlah ibu mahupun bapa yang bekerjaya, tetapi anak-anak di rumah.

Petikan di FB yang sempat saya "copy-paste" 

Mahal sangatkah cuti tanpa gaji, demi anak-anak?

Kalau dahulu, ayah sahaja yang bekerja, tapi sekarang, ketika ini, kadang-kadang isteri pun pulang lewat.
Anak-anak redha di tempat orang, di bawah jagaan orang. Belajar, bermain, riang, ketawa dan menangis, berkongsi makanan, mungkin juga berkongsi penyakit ....arrghh, tak apa, KLINIK ADA !!

Sepanjang di tempat kerja, anak-anak di rumah pengasuh/taska rindu pada kita, ..rindu ayah, rindu mama...

Tapi anak kecil, nak cakap rindu tidak pandai, nak tulis surat juga tidak pandai.
Jadi, bila ayah mama ambil anak-anak jam 6.00 petang setelah 11-12 jam dihantar ke pengasuh, anak-anak nampak mama, nampak ayah, anak-anak tekad.

Dia nak mama tengok dia, ayah dukung, peluk dia.Dia buat perangai, nak makan sendiri, nak ambil itu ini, dukung panjat lompat sana sini, tumpahkan air, kerana hanya dengan PROTES & TANTRUM sahaja yang anak-anak faham dan tahu untuk maklumkan bahawa ...

"Ayah, Mama..saya rindu dan sayang sangat pada kalian..."

Tapi....apa balasannya ...

Bila anak-anak bising, kita marah...
Bila anak-anak main, kita herdik ...
Dia menangis, kita jerit "DIAM!!!" ...
Dia suruh ajar dia, ...kita jawab "Tepilah, ayah nak TENGOK TV, FAHAM!!!"

Dia tumpahkan air/makanan, kita tengking seolah-olah dia sudah besar dan matang untuk berfikir itu adalah salah,..

Sedih hati seorang anak yang rindu ayah, rindu mama..rindu pelukan ibu, pujukan mama dan dukungan ayah.

Apakah duit boleh diganti kasih sayang??
Apakah jus tok guru, ipad boleh ganti suapan kasih sayang?
Apakah mainan berlambak-lambak boleh ganti saat bergurau senda sesama keluarga??
Apakah masing-masing makan kat luar boleh ganti nilai makan bersama?

Fikirlah sahabat....
Fikirlah teman,...
Fikirlah ibu, ayah, umi, walid, mama, papa...

"Kita bekerja untuk kebahagiaan keluarga. Jika pekerjaan menghakis perhatian dan masa kepada keluarga, dari mana datangnya keluarga bahagia?"