Saturday 20 June 2015

Jurnal 13/44 : Solat Terawih Sendirian


Teks ; Islam Itu Indah 
Gambar : Sumber google

Sementara menantikan anak syurga saya ini penat dengan aktiviti bermain jam 2.30am, sambil saya menonton siaran tv yang menyiarkan solat terawih di Mekah secara langsung.

Nampaknya untuk tahun ini saya tiada peluang untuk menyempurnakan ibadah terawih berjemaah di masjid memandangkan kesukaran untuk memantau Khalisya. Tapi itu bukan alasan untuk tidak mengambil peluang untuk memperbanyakkan ibadah di bulan puasa.

Lagipun lebih afdhal bagi wanita untuk solat di rumah. Oleh itu, sedikit panduan untuk anda yang baru berjinak-jinak untuk melakukan solat terawih di rumah, walaupun sebenarnya tiada banyak perbezaan dengan solat-solat sunat yang lain. Panduan ini saya dapati dari sumber yang dinyatakan seperti di atas.

*************************************
Soalan; saya ada dua soalan;
1 ) Bagaimana nak buat solat taraweh bersendirian?
2 ) Adakah selawat selepas setiap 2 rakaat solat taraweh itu perlu dan macamana kalau tidak buat dan cara melakukanya (tidak berselawat)

Jawapan;

1. Solat terawih sama seperti solat-solat sunat yang lain yang biasa kita lakukan, iaitu ditunaikan dua-dua rakaat dengan bermula dari takbir dan diakhiri dengan memberi salam. Ketika hendak solat, niatkan di dalam hati untuk mengerjakan solat terawih atau qiyam Ramadhan, kemudian lakukan solat sebagaimana biasa. Bacaan-bacaan di dalam solat juga sebagaimana yang biasa dibaca dalam solat-solat yang lain. Kesimpulannya, yang berbeza dalam solat terawih ini ialah niatnya sahaja. Adapun rukun-rukun dan sunat-sunat di dalam solat, ia sama seperti dalam solat-solat yang lain. Oleh kerana solat terawih dilakukan dua-dua rakaat, maka setiap dua rakaat hendaklah memberi salam dan kemudian bangun mengerjakan lagi dua rakaat hinggalah sempurna bilangan rakaat yang dikehendaki (lapan, dua puluh atau sebagainya).

2. Adapun berselawat selepas setiap dua rakaat, ia tidaklah wajib dan tidak mencacatkan solat terawih jika tidak melakukannya. Amalan berselawat itu hanya dilakukan sebagai selingan antara dua-dua rakaat solat untuk memberi kerehatan sesuai dengan nama solat itu “Solat Terawih”. Ia bukanlah sabit dari amalan Nabi s.a.w. secara khusus. Jika kita tidak berselawat, kita boleh menggantinya dengan ibadah-ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, bertazkirah dan sebagainya. Dan harus juga kita meneruskan solat tanpa menyelanginya dengan sebarang ibadah yang lain.

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih lengkap tentang solat terawih, sila baca di blog Laman Fiqh Anda (http://fiqh-am.blogspot.com/).

Wallahu a’lam.

Sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Semoga memberi manfaat



Posted via Blogaway

No comments:

Post a Comment