Thursday 21 May 2015

Salam Ukhwah Fillah

Teks : Nor Azlina Najib

Bismillahhirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.  

Terlebih dahulu saya hulurkan salam perkenalan kepada semua pembaca yang sudi singgah ke blog baru ini.

Nama penuh saya Nor Azlina binti Najib. Dilahirkan pada 9hb November 1981, di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).  Saya lebih dikenali dengan panggilan "Along" yang merujuk kepada anak sulung daripada empat orang adik beradik, malahan saya juga anak tunggal perempuan kepada pasangan suami isteri Najib & Hawa. Walaupun dilahirkan di Kuala Lumpur, masa tumbesaran lebih banyak di habiskan di Perak lantaran kerjaya abah sebagai anggota Polis Diraja Malaysia membuatkan kami tidak menetap di satu-satu tempat dalam tempoh yang lama. Lokasi terakhir abah dan mastautin tetap kami adik beradik kini adalah di kampung kelahiran abah, Kuala Kangsar.

Mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Jalan Pudu. Kemudiannya berpindah ke SRK Sri Kinta, Ipoh dan pendidikan menengah di aliran teknik di Sek. Menengah Teknik Persiaran Brash, Ipoh dalam jurusan Perdagangan. Mula berkhidmat sebagai penjawat awam setelah tamat memegang Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi Malaysia. Atas rasa ketidakpuasan hati ekoran tidak mendapat tempat melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah walaupun berakhir dengan CGPA yang tinggi, maka saya melanjutkan pelajaran secara separuh masa di Universiti Kebangsaan Malaysia, juga dalam bidang Perakaunan.

Perjalanan sebagai suri rumah tangga separuh masa bermula pada hari konvokesyen saya, iaitu pada 9hb Ogos 2008 dan kini mempunyai 2 cahayamata perempuan, iaitu Nur Khaliqah berusia 6 tahun dan Annur Khalisya yang genap setahun pada May 2015. 

Kerjaya saya kini adalah bertitik tolak daripada minat saya dengan matematik, dengan kira-kira & juga debit kredit akaun. Maka tempoh perkhidmatan yang hampir mencecah 12 tahun pada Jun ini sepatutnya menjadikan saya lebih arif dengan kewangan di sektor kerajaan. Tetapi seringkali saya di berikan tugasan naziran, pemantauan dan khidmat nasihat telah mengubah persepsi diri saya dan kerjaya saya. Ini kerana semasa tamat pelajaran Diploma, saya menolak bidang pendidikan atau dalam erti kata lain, saya menolak kerjaya sebagai seorang guru. Memandangkan tahap kesabaran saya yang ada pasang surutnya yang pada pandangan saya kerjaya seorang guru itu memerlukan tahap kesabaran dan kasih sayang yang tinggi. 

Tapi, jika di muhasabah semula, kerjaya saya kini juga lebih terarah kepada memberi pendidikan dan kefahaman dalam sesuatu perkara walaupun tidak menyandang jawatan sebagai seorang guru secara formal. Namun begitu, jauh di sudut hati saya lebih gemar dan serasi dengan menceburi dunia perniagaan.

Ini kerana sejak dari sekolah rendah, sekolah menengah saya sudah di dedahkan dengan berniaga secara kecil-kecilan walaupun dengan menjual nasi lemak untuk santapan rakan-rakan sekolah. Cuti sekolah dan cuti semestar juga lebih banyak terisi dengan membantu ibu berniaga membuka gerai kecil di kawasan perumahan. Oleh itu, walaupun mempunyai kerjaya tetap, saya masih lagi menceburi dunia perniagaan seperti networking bisnes contohnya DCL, Elken, Bob2e dan Unicity malahan pernah juga membuat dan menjual coklat sebagai hamper hari raya. 

Kesemua syarikat yang disebutkan di atas kebiasaannya memasarkan produk-produk kesihatan dan kecantikan yang mana sudah pasti saya akan lebih dahulu menggunakannya sendiri, atau menjadikan diri saya sebagai testimoni sebelum memasarkan kepada rakan-rakan lain. Oleh kerana kecenderungan saya adalah berkongsi sesuatu yang saya rasakan dapat memberi manfaat kepada kualiti kehidupan yang lebih baik, maka saya akan bercerita sahaja tentang produk tersebut berdasarkan pengalaman peribadi tanpa ada paksaan untuk membuat belian kepada sesiapa sahaja.

Setelah berumahtangga dan mempunyai keluarga kecil, saya mula memikirkan soal kualiti masa bersama suami dan anak-anak terutama sekali sekiranya saya di minta untuk bekerja luar (outstation). Perasaan berat hati untuk meninggalkan anak-anak terbeban kepada ibu saya yang bertindak sebagai pengasuh membuatkan saya mula mencari panduan dan asas untuk mengukuhkan ekonomi melalui bisnes terutamanya perniagaan tanpa mengeluarkan modal yang besar. Saya juga bertekad untuk keluar dari zon selesa dan mahu hidup bebas dari hutang dan berazam untuk mendidik dan menjaga anak-anak sepenuh masa.

Semoga dengan ruang lingkup dan masa yang terhad ini, saya dapat manfaatkan sesuatu melalui pembacaan, pengalaman saya kepada pembaca di luar sana terutamanya kepada mereka yang berminat untuk memulakan bisnes online tanpa perlu meninggalkan kerjaya sedia ada.

Sekian dahulu buat masa ini, moga bertemu di artikel selanjutnya.

No comments:

Post a Comment